Memproses Maklumat

Menurut Lerner (2003) model pembelajaran memproses maklumat menerangkan pengaliran maklumat semasa proses pembelajaran, iaitu bermula dari penerimaan maklumat melalui proses di dalam otak sehinggalah menghasilkan tindakan. Pusat kepada model pembelajaran memproses maklumat ialah kepelbagaian bahagian sistem daya ingatan. Bahagian ini mempunyai sistem penerimaan maklumat yang terbahagi kepada tiga jenis ingatan iaitu:

  • penerimaan daya deria-rangsangan
  • daya ingatan jangka pendek
  • daya ingatan jangka panjang

Daya Deria Rangsangan

Maklumat diterima melalui daya rangsangan penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rasa. Rangsangan yang diterima adalah sama ada secara dalaman atau luaran. Teori memproses maklumat sangat penting kepada pengajaran guru. Ini adalah kerana ia dapat membantu guru mengatasi masalah ketidakupayaan pembelajaran murid mereka. Di samping itu mereka dapat membuat perancangan terhadap pengajaran di dalam bilik darjah.

Daya Ingatan Jangka Pendek

Daya ingatan jangka pendek dikenali juga dengan ingatan sementara. Apabila melalui proses ini, seseorang itu akan mempunyai kesedaran untuk memahami maklumat dan seterusnya bertindak balas terhadap maklumat yang diterima. Apabila seseorang itu memikirkan masalah yang baru, maklumat baru akan menggantikan maklumat lama. Kepentingan kepada pengajaran guru ialah, guru boleh mengenal pasti maklumat yang disimpan oleh murid di dalam jangka masa waktu yang diperlukan. Guru sepatutnya merancang aktiviti bagi membolehkan isi pelajaran yang diajar bukan sahaja berada di dalam daya ingatan jangka pendek murid, tetapi sebaliknya terus disimpan di dalam ingatan jangka panjang.

Daya Ingatan Jangka Panjang Berkekalan

Daya ingatan jangka panjang adalah berkekalan. Bagi mempelajari mengekalkan maklumat yang diperolehi untuk satu-satu tempoh masa yang panjang, maklumat perlu dialihkan dari ingatan jangka pendek kepada ingatan jangka panjang. Terdapat dua jenis ingatan jangka panjang iaitu ingatan makna dan pengalaman.

Kepentingannya kepada pengajaran ialah, cara bagaimana maklumat disimpan di dalam daya ingatan jangka panjang membantu kita untuk menggunakan maklumat apabila diperlukan. Melalui teknik pengajaran yang jelas, sistematik dan menggunakan kaedah yang menarik pasti dapat membantu murid mengingat kembali isi pelajaran yang telah dipelajari. Strategi-strategi yang dapat membantu murid meningkatkan daya ingatan jangka panjang mereka ialah sistem penyusunan maklumat, menggunakan pengetahuan sedia ada dan membuatkan maklumat yang diperolehi lebih bermakna.

Leave a comment