Strategi Pemusatan Bahan

Bahan pelajaran memainkan peranan yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan menggunakan strategi ini, guru boleh menyampaikan pelajarannya dengan lebih mudah, menarik serta berkesan manakala murid pula boleh memahami pelajaran dengan lebih bermakna serta boleh menjalankan aktiviti pembelajaran dengan secara sendiri atau secara kumpulan tanpa kehadiran guru. Bahan pelajaran yang digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran biasanya boleh dikategorikan kepada dua iaitu:

Bahan pengajaran

Bahan yang digunakan oleh guru seperti carta, model, graf, peta, gambar, slaid, radio, perakam pita, video, televisyen dan projektor.

Bahan pembelajaran

Bahan yang digunakan oleh murid dalam aktiviti pembelajaran seperti kad aktiviti, kad cantuman, lembaran kerja, pembilang, bahan bercetak dan komputer.

Penggunaan komputer sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran juga telah semakin berkembang dalam program pendidikan khas. Gearheart dan Gearheart (1989), Hawkridge dan Vincent (1992) serta Mather dan Bos (1994), sependapat menyatakan bahawa murid bermasalah pembelajaran dan tingkah laku memperolehi pengetahuan dan kemahiran baru melalui kaedah literasi komputer. Ia mungkin disebabkan oleh kaedah ini memaparkan sesuatu yang baru dan menarik perhatian.

Ciri–Ciri Strategi Pemusatan Bahan

  • Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, bahan pengajaran memainkan peranan yang penting. Guru atau murid perlu bergantung sepenuhnya kepada penggunaan bahan pelajaran untuk mencapai objektif pengajaran.
  • Lebih mengutamakan kecekapan dan kemahiran menggunakan bahan pelajaran untuk mencapai objektif pengajaran.
  • Dapat membantu murid memahami konsep yang abstrak dengan lebih jelas di samping memupuk semangat berdikari dengan menjalankan aktiviti pembelajaran tanpa kehadiran atau pertolongan guru.
  • Sifat-sifat sosial yang positif dapat dipupuk melalui kaedah kumpulan yang melibatkan penggunaan bahan pembelajaran.
  • Mementingkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bermakna melalui pengalaman yang sebenar. Dengan adanya ilmu pengetahuan yang abstrak dapat dikaitkan dengan situasi yang konkrit

Ketiga-tiga strategi ini saling berkaitan di antara satu sama lain di samping perlunya kemahiran dan kreativiti seseorang guru itu untuk memilih, merancang, menyusun dan menguruskan kaedah serta teknik mengajar dalam objektif pelajaran pada peringkat optimum. Ketiga-tiga strategi yang dinyatakan sememangnya mempunyai kelebihannya sendiri. Namun begitu, strategi pemusatan murid adalah yang paling ideal dalam melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Leave a comment